Fungsi pertanian pada peringkat awalnya adalah untuk memenuhi keperluan asas manusia iaitu makanan dan minuman. Namun apabila meningkatnya tamadun manusia, maka fungsi pertanian telah berubah. Daripada pertanian untuk sara diri ia bertukar menjadi pertanian untuk perniagaan.
Langkah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menganjurkan Pameran Pertanian dan Agro Pelancongan (MAHA) adalah satu langkah yang bijak untuk menarik perhatian orang ramai akan kepentingan pertanian di dalam perniagaan. Malaysia adalah sebuah negara yang bertuah kerana mempunyai tanah pertanian yang subur dan sumber alam yang kaya untuk membekalkan bahan makanan dan minuman kepada penduduknya. Sumber-sumber ini bukan sahaja mencukupi untuk rakyat negara ini tetapi juga di eksport ke luar negara.
Tanaman buah naga menjadi salah satu hasil eksport baru ke luar negara.
Kerajaan sentiasa berusaha mencari inisiatif baru dalam membangunkan sektor pertanian dan industri berasaskan tani demi memastikan pembangunan bidang terbabit seiring arus transformasinya. Justeru, pembangunan infrastruktur pertanian juga diberi keutamaan bagi memastikan pengusaha dapat memaksimumkan hasil yang diperoleh dan bergerak ke arah menjadi usahawan tani yang berjaya dan profesional.
Banyak program dan aktiviti dianjurkan bertujuan melahirkan Usahawan Tani supaya mereka menerajui perancangan untuk mengkomersialkan pengeluaran makanan di dalam sektor pertanian bagi menambah produktiviti dan daya saing dalam dunia perniagaan yang kian kompetitif dan global.
Kerajaan mahu supaya golongan petani membuat anjakan paradigma dan menanam dalam minda masing-masing bahawa sektor pertanian harus diuruskan sebagai satu entiti perniagaan.
Sesungguhnya, masih belum terlambat untuk anda menceburkan diri dalam bidang yang dianggap satu kaedah menjana pendapatan lumayan.
Seorang daripada peniaga yang memanfaatkan hasil tanah untuk dijual kepada orang ramai.